Tiada arahan tolak pesakit negeri lain - Utusan Malaysia

Tiada arahan tolak pesakit negeri lain

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Ke­sihatan tidak pernah mengeluarkan arahan atau sebarang prosedur operasi standard (SOP) kepada mana-mana fasiliti kesihatan swasta untuk menolak pesakit dari negeri berlainan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Bahagian Amalan Perubatan dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) juga tidak menetapkan prosedur berkenaan kerana kesemua klinik swasta perlu memberikan perkhidmatan berdasarkan kemampuan mereka.

Apatah lagi, kata beliau, tiada peruntukan khas di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang menetapkan klinik boleh atau tidak boleh menolak pesakit dan sebagai seorang doktor, adalah sesuatu yang tidak beretika jika berbuat demikian.

Namun, beliau menjelaskan, berkemungkinan da­lam situasi Covid-19 ketika ini, klinik yang dimaksudkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak beroperasi sepenuhnya.

“Mungkin klinik mengambil pesakit berdasarkan temu janji bagi mengurangkan penularan pandemik penyakit atau temu janji telah penuh.

“Walaupun begitu, isu sebenar perlu dipastikan dahulu. Apakah benar pesakit ditolak disebabkan oleh kad pengena­lan dari negeri lain. Mungkin ada sebab lain yang lebih munasabah menyebabkan klinik-klinik tersebut tidak mengambil pesakit berkenaan,” katanya semalam.

Mingguan Malaysia melaporkan tindakan dua buah klinik swasta di bandar Tanah Merah, Kelantan enggan menerima pesakit luar dari negeri itu untuk mendapatkan rawatan hanya kerana MyKid menunjukkan mereka beralamat di Melaka.

Situasi itu berlaku ketika seorang ibu membawa anaknya ke klinik gigi bagi mendapatkan rawatan, namun klinik berkenaan tidak mahu mene­rima ke­rana bukan penduduk Kelantan.

Situasi sama berlaku ketika dia membawa anak keduanya untuk mendapatkan rawatan kerana demam.

Dalam pada itu, Adham berkata, Bahagian Amalan Perubatan turut menjelaskan, terdapat kemungkinan dalam isu berkenaan pesakit mempunyai penyakit lain yang juga memerlukan rawatan pakar perubatan, sebelum rawatan gigi diberikan.

Menurut beliau, dalam peruntukan di bawah Subseksyen 38 (1), Akta 586, bahagian itu memberitahu, ia memerlukan sesebuah klinik memulakan rawatan penyelamatan nyawa atau rawatan kecemasan sekiranya ada pesakit yang memerlukannya.

“Jika siasatan perlu dilakukan, maklumat terperinci diperlukan antaranya seperti nama, alamat klinik, tarikh keadaan tersebut berlaku, nama pesakit dan lain-lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dari segi garis panduan khusus kepada mereka yang datang dari luar negeri tertentu untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta, ia tertakluk kepada SOP atau keperluan khusus sedia ada.

Dalam hal itu, katanya, pesakit perlu membuat perakuan jujur status mereka seperti dari zon merah atau hijau, jika bergejala, jika pernah di kua­rantin, jika ada terdedah kepada pesakit Covid-19 dan lain-lain keperluan adalah wajar dipatuhi serta memadai. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN