Pontianak singgah di balkoni - Utusan Malaysia

Pontianak singgah di balkoni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

[email protected]

Razzi membelek helaian rambut di tangannya. Dia semakin keliru. Masuk hari ini sudah tiga kali perkara sama berulang. Pelik! Rambut siapalah agaknya yang sering tersangkut di besi pagar balkoni rumahnya itu.
Atau mungkinkah rambut tersebut milik penghuni yang menyewa di tingkat atas rumahnya? Tidak mustahil juga kerana pangsapuri yang disewanya ini tingginya 15 tingkat, dia pula tinggal di tingkat 10, jadi memang masuk akal jugalah jika rambut ini kepunyaan penghuni di atas.
Tapi yang menjadi persoalannya, rambut tersebut bukan sekaki atau sehasta, malah hampir sedepa panjangnya. Itu yang buat dia garu kepala. Fikirnya mungkin ada lagi wanita-wanita di atas sana yang menyimpan rambut panjang sebegitu. Seperti sebelumnya Razzi lantas membuang rambut tersebut di tong sampah.
Razzi tidak menganggap itu sebagai isu besar, cuma ada juga terfikir alangkah baiknya kalau dia dapat berjumpa dengan tuan badan rambut tersebut. Manalah tahu boleh berkenalan, lagipun ramai orang kata wanita berambut panjang ini kebanyakannya anggun, tambah pula dia memang masih solo.
Kejadian tersebut tidak diceritakan pada rakan serumahnya, Zaini. Baginya, tidaklah penting mana, jadi tidak perlulah dia berkongsi dengan sesiapa. Silap hari bulan kalau dia ceritakan pada Zaini tidak mustahil akan dijadikan bahan jenaka rakannya itu.
Malam itu Razzi menyambung kerja di ruang tamu pangsapurinya. Rakan serumahnya Zaini sudah lama masuk tidur kerana awal-awal lagi dia sudah mengadu ingin berehat kerana sakit kepala. Razzi faham benar dengan ragam rakan serumahnya itu. Memang kebiasaannya selepas balik kerja dia akan masuk tidur awal.
Razzi jeling jam di dinding sudah hampir 12 tengah malam. Sesekali dia menguap menahan matanya yang semakin mengantuk. Namun digagahnya juga untuk menyiapkan kerja yang sedikit berbaki supaya esok dia tidak perlu lagi menyambungnya di pejabat. Sedang dia leka menaip di komputernya, tiba-tiba dia terdengar bunyi desiran angin kuat di luar. Bergegas dia bangun untuk meninjau. Rupa-rupanya langit sudah terlalu gelap, guruh mula berdentum dan kilat sabung menyabung.
Dia menoleh ke arah langit. Langsung tidak nampak walau sebutir bintang. Pasti hujan lebat sebentar lagi. Dengan pantas dia mencapai pakaiannya yang tersidai di ampaian balkoni sebelum menutup pintu kaca dari dalam. Razzi menarik nafas lega. Dalam hati, dia bersyukur juga jika hujan kerana sudah lama kawasannya tidak hujan.
Dia menyambung kembali tugasnya di hadapan komputer. Di luar hujan lebat mencurah-curah sambil diselangi dentuman guruh. Sesekali dia menjeling ke arah pintu kaca balkoninya. Sedang leka menyiapkan tugasan, tiba-tiba dia tersentak apabila matanya terlihat satu objek di balkoni rumahnya. Walaupun suasana di luar gelap pekat, namun pancaran kilat yang sesekali menerpa masuk ke arah balkoninya membuatkan dia dapat melihat dengan jelas apa yang berada di sekitarnya.
Razzi melangkah perlahan menuju ke pintu kaca balkoninya untuk melihat lebih jelas lagi. Namun sebaik sahaja dia hampir sampai tiba-tiba dia tersentak. Darahnya tersirap. Dari pancaran kilat sabung menyabung dia dapat melihat dengan jelas satu makhluk berpakaian putih berambut panjang sedang duduk berjuntai kaki di balkoninya.
Dia menggigil ketakutan sambil berundur setapak demi setapak. Walaupun pintu kaca itu sudah terkunci rapat namun dia masih dapat melihat dengan jelas rupa makhluk tersebut. Wajah makhluk itu amat hodoh, kulit mukanya mengerutu kasar seperti di penuhi bisul dan kudis, rambutnya panjang sehingga melepasi paras pinggang.
Ada ketikanya makhluk tersebut beberapa kali memalingkan muka dan memandang ke arahnya. Langkah Razzi semakin lemah. Tubuhnya terasa cukup tidak bermaya. Niat ingin mengejutkan rakannya Zaini tidak kesampaian apabila dia terjelepuk pengsan di ruang tamu. Razzi tersedar ketika azan subuh berkumandang. Perlahan-lahan dia bangun dan bergegas masuk ke bilik tidur. Sehingga fajar menyingsing dia langsung tidak boleh melelapkan mata.
Keesokannya sebaik sahaja Zaini bangun dia lantas menceritakan apa yang berlaku malam tadi. Terlopong mulut Zaini mendengarnya. Razzi mengambil rambut yang dibuangnya dalam tong sampah tempoh hari dan menunjukkannya kepada Zaini. Setelah berbincang mereka mengambil kata sepakat untuk menghubungi Ustaz Zaki yang tinggal berdekatan di situ.
Selepas Zuhur, Ustaz Zaki datang ke kediaman mereka. Dia mendengar dengan tekun apa yang diceritakan Razzi sebelum meninjau di beberapa sudut rumah tersebut. Dari cerita itu, Ustaz Zaki menyimpulkan makhluk yang dilihat Razzi itu adalah Pontianak. Katanya, makhluk tersebut bukan ingin mengganggu mereka, tetapi sekadar menjadikan balkoni rumah berkenaan sebagai tempat persinggahannya. Dan perkara ini sudah terjadi sekian lama, cuma baru-baru ini sahaja mereka terperasan.
“Makhluk ini bukan nak menakutkan, tetapi di sinilah tempat persinggahannya selama ini. Sebab itulah kamu selalu terjumpa helaian rambut panjang di balkoni ini,” kata Ustaz Zaki
Sebelum pulang, Ustaz Zaki memberikan air yang telah dibaca dengan ayat-ayat suci al-Quran. Katanya, air tersebut bolehlah disiram di sekitar kawasan balkoninya selepas waktu Maghrib. Razzi dan Zaini mengangguk tanda faham dan berharap kejadian itu tidak akan berulang lagi.
Tetapi yang menjadi masalah utama Razzi bagaimana mahu membuang perasaan takutnya ketika ini. Dia pula selalu berjaga sehingga larut malam untuk menyiapkan kerja-kerjanya. Adakah dia akan selesa berada di ruang tamu seperti malam-malam sebelumnya? Sedangkan hanya dia seorang sahaja yang menyaksikan kejadian menakutkan itu. Entahlah, dia sendiri tidak punya sebarang idea. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN