Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), globalisasi adalah proses berterusan yang mengubah kebanyakan negara dari aspek politik, ekonomi, teknologi, alam sekitar, kebudayaan dan hubungan antara budaya dalam kalangan individu, masyarakat dan negara.
Pengantarabangsaan pendidikan tinggi dilihat sebagai tindak balas terhadap globalisasi. Trend integrasi globalisasi kepada pengantarabangsaan ini adalah fokus terkini pendidikan tinggi untuk terus relevan.
Adaptasi institusi pengajian tinggi (IPT) terhadap pengantarabangsaan bertujuan mengembangkan kapasiti untuk bertindak dengan efektif di peringkat global dan kekal berpengaruh di peringkat nasional dan tempatan. Semua ini adalah usaha panambahbaikan dan peningkatan berterusan yang dijalankan untuk kapasiti pengajaran dan penyelidikan.
Warga pendidik di sektor pengajian tinggi berpegang teguh terhadap pengantarabangsaan kerana mereka mengambil berat terhadap pelajar. Warga pendidik memahami bahawa belia ke universiti bertujuan menambah baik kendiri dan diri mereka, dilengkapi dengan pelbagai kemahiran, pengetahuan dan keperibadian. Di samping itu, pelajar ingin dihubungkan secara global, mempunyai daya saing yang tinggi dan dapat membangunkan kemahiran antara budaya untuk mempersiapkan diri di era globalisasi. Peningkatan jumlah fakulti dan pelajar antarabangsa melalui dasar pengantarabangsaan yang diamalkan telah banyak membantu warga pendidik mencapai matlamat ini.
Pengantarabangsaan di rumah (Internationalisation at Home) adalah di mana institusi dapat memberikan persekitaran antarabangsa di kampus.
Hampir semua IPT di Malaysia mempunyai strategi pengantarabangsaan tersendiri di mana kebanyakannya tertumpu pada peningkatan hubungan globalisasi, kerjasama antarabangsa, dan pertukaran pengajian secara global. Strategi-strategi ini bertujuan menambah hasil pembelajaran kontemporari terhadap pengalaman pelajar yang bakal menjadi warga global pada masa hadapan.
NEGARA ISLAM
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi pilihan utama untuk pelajar dari negara-negara Islam. Sebuah buku yang dikarang oleh alumni UIAM dari Bosnia, Bosnia Experience in Malaysia menggambarkan para graduan yang telah menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan semula negara-negara pasca peperangan. Selain itu, buku yang turut dikarang oleh alumni UIAM dari Indonesia, Mengejar Asa di IIUM turut mengisahkan perkara serupa, bagaimana pendidikan holistik yang disediakan oleh UIAM telah banyak menyumbang kepada kejayaan kehidupan mereka sebagai pemimpin di peringkat persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti. Kisah seumpamanya juga banyak dicoretkan di media sosial memaparkan bagaimana alumni–alumni yang datangnya dari segenap pelosok dunia mampu menyumbang secara berkesan terhadap komuniti dan pembangunan pelbagai aspek kehidupan di negara masing-masing. Pencapaian seperti ini menyumbang secara berkesan kepada dasar-dasar negara mereka terhadap Malaysia.
Oleh itu, liberalisasi dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh Malaysia pada 1996 menyatakan, pengantarabangsaan adalah salah satu aspek utama yang perlu didukung oleh seluruh IPT di Malaysia. Ini dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan yang menyasarkan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025.
KAPITALIS
Bagaimanapun, pengantarabangsaan pendidikan tinggi telah ditokok oleh ketamakan kapitalis dengan melihat pelajar antarabangsa sebagai komoditi. Fenomena ini mendorong kepada penyalahgunaan IPT untuk keuntungan jangka pendek semata-mata. Tanpa melihat pelajar sebagai pelaburan jangka panjang kepada negara, ada segelintir IPT menyasarkan pelajar sebagai sumber pendapatan melalui yuran pengajian dan perkhidmatan bercaj. Lebih mendukacitakan, terdapat institusi yang menyalahgunakan kemudahan ini untuk kegiatan menyalahi undang-undang.
Penyalahgunaan seperti ini terutama IPT swasta menjadikan proses visa untuk keperluan pengajian diperketatkan pada 2014 di mana semua pelajar antarabangsa wajib melalui proses saringan yang membebankan malah mencemar reputasi IPT di Malaysia. Proses saringan yang membebankan ini mengambil masa lebih lama berbanding permohonan sama untuk belajar di hab pendidikan seperti di United Kingdom dan Australia. Fenomena ini sekali gus menjadikan Malaysia bukan lagi destinasi yang menjadi tarikan kepada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.
Ditambah lagi di era pandemik ini di mana dasar kemasukan pelajar antarabangsa berubah-ubah mengikut kadar jangkitan. Akibat ketidaktentuan ini, hampir keseluruhan IPT di Malaysia melaporkan kemerosotan bilangan pelajar antarabangsa.
Sekiranya Malaysia masih lagi berhasrat untuk menjadi hab pendidikan, semua pihak harus bekerjasama dalam memperbaiki situasi ini dengan memulakan polisi kemasukan yang lebih konsisten untuk pelajar antarabangsa dan tanggungan mereka. Keperluan pelarasan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan dijalankan dengan jayanya seperti yang dilaksanakan di United Kingdom dan Australia. Ini menjadikan hab-hab pendidikan ini sebagai destinasi pengajian yang menarik kepada pelajar antarabangsa.
PROFESOR Dr. Amir Akramin Shafie ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










