Tiris: Ahli politik juga perlu disiasat - Utusan Malaysia

Tiris: Ahli politik juga perlu disiasat

RASUAH
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jangan pegawai kerajaan sahaja disiasat dalam isu ketirisan dan peni­puan membabitkan peruntukan perolehan kerajaan, malah ahli politik turut tidak wajar terlepas jika disyaki terlibat.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, langkah tegas itu perlu diberi perhatian serius supaya tidak menular menjadi ‘budaya kotor’ kerana ia melibatkan dana awam.

“Dalam hal ini siasatan tidak boleh terkecuali kepada mana-mana pegawai kerajaan yang disyaki melakukan kesalahan sahaja. Jangan sesekali berpendapat bahawa oleh kerana dia wakil rakyat, maka undang-undang tidak boleh dikenakan ke atasnya.

“Dia (wakil rakyat) dah ang­kat sumpah. Maka dia tertakluk kepada undang-undang negara dan mesti dikenakan tindakan jika melanggarnya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pegawai kerajaan dan agensinya dikesan paling banyak terlibat dalam penipuan membabitkan perolehan kerajaan.

Ketirisan tersebut telah berlaku sejak lima tahun lalu dan dianggap perkara yang rumit oleh SPRM untuk diselesaikan.

Kata Azam, kes ketirisan kini menjadi tumpuan utama siasatan SPRM.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sistem pengauditan dan jawatankuasa integriti dalam setiap jabatan di semua kementerian perlu ditambah baik supaya ketirisan dapat dikurangkan.

“Pengauditan dalaman perlu diperketat dalam semua jabatan kerajaan terutama dalam aspek pengurusan kewangan bagi mengelakkan soal rasuah.

“Ini kerana ketirisan bukan masalah kecil dan sudah banyak kes dilaporkan.

“Selain itu, perkara ini juga melibatkan soal integriti. Jadi, setiap jawatankuasa integriti dalam jabatan kementerian perlu mengatur langkah dalam membudayakan integriti dan perkara itu tidak boleh dikompromi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×