KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur pusat hiburan yang ‘berani’ beroperasi secara sorok-sorok di seluruh negara bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mengeluarkan arahan tersebut kelmarin kepada semua kontinjen polis bagi melakukan risikan dan pemeriksaan di semua pusat hiburan bawah pentadbiran masing-masing.
Operasi tersebut turut melibatkan restoran-restoran berlesen yang menawarkan sebarang bentuk hiburan.
Antara kesalahan banyak dilakukan di pusat hiburan ialah gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk, aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi lebih masa.
“Tanpa mengira siapa pelanggan dan taraf pusat hiburan kita arahkan periksa dan ambil tindakan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Arahan KPN tersebut susulan jumlah kompaun ketika tempoh PKPP banyak membabitkan kesalahan di pusat-pusat hiburan.
Bagi memastikan PKPP benar-benar berkesan mencegah Covid-19, Abdul Hamid berkata, pihaknya mengemas kini profil-profil pengusaha dan pemilik pusat hiburan di seluruh negara terutamanya ibu negara untuk diambil tindakan.
“PDRM meneliti mengenakan tindakan bukan hanya kompaun tetapi mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang biasanya membabitkan kes jenayah berat ke atas tauke atau pemilik pusat hiburan.
“Ini kerana terdapat beberapa kelab malam dikesan menjadi pusat dadah berulang. Jadi ini yang akan dikenakan tindakan.
“Selagi mana Kementerian Kesihatan Malaysia tidak benarkan beroperasi, selagi itu mereka tidak dibenarkan menjalankan perniagaan,” tegas beliau.
Individu dikenakan tindakan di bawah POCA akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tidak lebih lima tahun.
Abdul Hamid berkata, setakat ini pihaknya telah memohon 36 pembatalan lesen kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi baru tiga diluluskan.
Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac sehingga Ogos lalu, sebanyak 392 pusat hiburan tanpa lesen dikesan beroperasi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sehingga kini baru dua permohonan daripada 12 permohonan batal lesen pusat hiburan diluluskan PBT negeri itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan pula berkata, pihaknya juga menyarankan kepada PBT supaya menyita premis hiburan yang tidak mempunyai lesen.
Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri pada sidang akhbar hariannya semalam berkata, PDRM menahan 136 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, seramai 36 individu direman manakala 100 individu pula dikenakan kompaun.
“Aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal merekodkan 43 penahanan, tidak memakai pelitup muka (26), tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI)(22).
“Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan bagi merekod butiran pelanggan (11), premis beroperasi tanpa kebenaran (4), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) (9) dan masing-masing satu kesalahan melibatkan masuk ke kawasan PKPD tanpa alasan kukuh serta keluar kawasan PKPD tanpa alasan munasabah,” katanya.
Pada 13 September lalu, Ismail Sabri mendedahkan hampir 80 peratus daripada 763 individu yang ditahan PDRM atas kesalahan ingkar arahan PKPP adalah terdiri daripada pengunjung kelab malam.










