KANGAR – Kerajaan Pusat diminta membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Perlis yang berlarutan sejak sekian lama berikutan paip-paip utama di negeri ini yang sudah terlalu uzur.
Dalam masa sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya juga meminta wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dari negeri ini dapat memanjangkan masalah tersebut kepada Kerajaan Pusat dengan mengenepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, masalah tersebut bukan baharu malah sudah berlarutan sejak sekian lama dengan negeri ini memerlukan peruntukan besar untuk membaiki dan menukar paip-paip lama.
“Saya harap kerajaan dapat bantu menyediakan peruntukan untuk menyelesaikan masalah ini. Jika tidak, masalah bekalan air tidak akan selesai sekali gus menyusahkan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dilaporkan berkata, Perlis memerlukan peruntukan sebanyak RM1.9 bilion untuk menyelesaikan masalah itu dengan membaiki paip-paip utama yang uzur di negeri ini.
Kata Azlan, adalah mustahil untuk kerajaan negeri dapat membaiki keseluruhan paip air ini secara keseluruhan malah Kerajaan Pusat juga tidak boleh menyediakan peruntukan itu sekali gus.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan ada penduduk di Kampung Desa Permai, Kayang di sini terpaksa menadah air hujan berikutan masalah bekalan air di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengucapkan terima kasih kepada Azlan yang memberi maklum balas mengenai isu berkenaan serta menjelaskan sebab-sebab masalah bekalan air itu berlaku.
Katanya, beliau memahami kekangan kerajaan negeri itu dan berharap pusat dapat membantu menyalurkan peruntukan tersebut.- UTUSAN ONLINE











