PASIR GUDANG – Tiada mangsa terbaharu pencemaran udara melibatkan mana-mana pelajar atau guru dari 111 buah sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk tadika di daerah ini setakat pukul 10 pagi ini.
Proses pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah setakat ini berlangsung dengan tenang termasuk ada dalam kalangan pelajar memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, semuanya berjalan lancar namun semua agensi terus melakukan pemantauan di sekolah-sekolah bagi mendapatkan perkembangan dan mengetahui situasi semasa.
“Kerjasama dan pemantauan melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia, Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen (JKKP), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), bomba dan
Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (Pagema),” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz. – UTUSAN ONLINE











