LANGKAWI – Cubaan tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand menyeludup masuk anak-anak pokok dari Thailand ke pulau pelancongan ini gagal apabila perbuatan mereka dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 di Pantai Tanjung Rhu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, ketiga-tiga mereka dipercayai menyeludup 157 batang anak pokok durian, getah (615), kedondong (10) dan dokong (enam) dengan menggunakan sebuah bot pelancong.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 1, Deputi Superintenden Rohizan Mohamad Saaid berkata, tangkapan kesemua mereka berusia antara 38 dan 62 tahun itu hasil risikan dan aduan awam mengenai kes penyeludupan anak pokok dengan cara tidak diwartakan.
“Anggota pada mulanya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di pesisir pantai berkenaan, sebelum menahan sebuah bot yang sarat dengan muatan tumbuh-tumbuhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rohizan berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori serta bot tersebut dianggarkan mencecah RM71,100.
“Ketiga-tiga suspek dan barangan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM di Bukit Malut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











