PUTRAJAYA 28 Julai – Semua pihak dirayu agar bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan bilangan Harimau Malaya di negara ini dapat dipertingkatkan kepada lebih 500 ekor.
Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali berkata, usaha secara bersama semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, penderma dan anggota masyarakat dipercayai dapat melonjakkan spesies Harimau Malaya.
“Sebab ketamakan diri, kita kemungkinan tidak akan dapat melihat haiwan-haiwan ciptaan Allah ini, sebab mereka sudah pupus.
“Sekali pupus, ia tidak akan ada lagi. Spesies ini ada di semenanjung kita sahaja dan kalau kita tidak sama-sama agensi lain bertindak, ia akan pupus. Kelak nanti (Harimau Malaya) hanya tinggal lambang jata dan pada kemeja T sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Harimau Global 2019 dan Pelancaran Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.
Majlis turut menyaksikan Dr. Siti Hasmah menerima sumbangan daripada badan-badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) universiti dan sekolah untuk Tabung Selamatkan Harimau Malaya berjumlah RM1.3 juta.
Antara penyumbang utama termasuk Yayasan Al-Bukhary, Berjaya Corporation dan Ranhill Holdings.
Dalam pada itu, Dr. Siti Hasmah yang juga Penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya turut secara rasmi mengumumkan nama tiga anak Harimau Malaya dilahirkan pada 1 Mei lalu di Zoo Negara.
Daripada tiga anak harimau itu, katanya, dua daripadanya yang berjantina jantan diberi nama Wira dan Hebat manakala seekor lagi anak harimau betina dinamakan Melur.
“Yang tiga anak harimau pun dah besar sudah tiga bulan dan tiga kaki besar. Tak dapat saya peluk sebab baru lihat saya sudah terperanjat, (harimau betina itu) mengaum,” katanya. – UTUSAN ONLINE











