DUNGUN – Seramai 13 pekerja kontrak sebuah syarikat berkaitan gas dan minyak menggigit jari apabila rumah sewa yang baru didiami semalaman mulai kelmarin musnah dalam kebakaran di Kampung Limbong, Paka dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi itu, kesemua barangan peribadi termasuk sebuah motosikal milik kesemua mangsa yang baru memperolehi pekerjaan musnah dalam kebakaran terbabit.
Salah seorang jiran yang juga saksi kejadian, Mat Daud Ismail, 51, berkata, sewaktu kejadian, kesemua pekerja kontrak tersebut tiada di rumah kerana keluar bekerja di tapak projek majikan mereka.
“Sewaktu sedang berehat, saya perasan kehadiran api dan kepulan asap bermula dari sebuah bilik di dalam rumah jiran yang terletak kira-kira empat meter dari kediaman saya.
“Tanpa berfikir panjang, saya segera menyelamatkan dokumen- dokumen penting dan sebuah tong gas kerana jarak dapur rumah saya dengan kediaman yang terbakar itu terlalu hampir, saya kemudiannya menghubungi pihak berkuasa,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd. Rezuan Adnan berkata, api terlalu marak menyebabkan kesemua struktur rumah itu yang diperbuat daripada kayu musnah sepenuhnya. -K! ONLINE











