Najib mohon maaf tidak sambut salam warga emas - Utusan Malaysia

Najib mohon maaf tidak sambut salam warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Julai – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada seorang warga emas berikutan beliau tidak menyambut salam yang dihulurkan oleh lelaki tersebut.

Najib berkata, beliau sama sekali tidak berniat untuk tidak menghiraukan lelaki tua yang menghulurkan tangan kerana mahu berjabat dengan beliau.

Menurut Najib, ketika itu dalam minda beliau hanya ingin segera menghulurkan sikit tips kepada sekumpulan pemain muzik jalanan yang kebetulan berada di hadapan gerai yang dilawati beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ada terima WhatsApp tadi mengenai satu video tersebar saya tidak bersalaman dengan seorang pakcik warga emas. Dengan ikhlas saya memohon maaf kepada pakcik.

“Bukan peribadi saya untuk tidak mesra rakyat. Sehingga hari ini Najib Razak berdiri dan makan minum bersama rakyat. Sehingga hari ini Najib Razak bersuara untuk rakyat walaupun berhadapan dengan cabaran dan penindasan dari kerajaan,” kata Najib.

Najib dalam satu hantaran di Facebook meminta mana-mana individu yang mengenali pakcik tersebut untuk menghubunginya dan boleh mengaturkan pertemuan dengan warga emas tersebut.

Menurut Najib, jika mempunyai kesempatan dan diberikan ruang oleh lelaki itu, beliau ingin bertemu dengan warga emas itu sama ada di Pulau Pinang atau di Kuala Lumpur.

“Sekali lagi saya ingin mohon maaf kepada pakcik. Semoga kita dapat bertemu tidak lama lagi. Insya-Allah,” tulis Najib.

Dalam video berdurasi kira-kira sepuluh saat yang viral di media sosial itu menunjukkan seorang lelaki tua berbaju hijau menghulurkan tangan di hadapan Najib untuk berjabat dengan bekas Perdana Menteri itu.

Najib bagaimanapun kelihatan seperti tidak menyedari salam yang dihulurkan oleh warga emas tersebut sebaliknya memandang sekumpulan pemain muzik jalanan di hadapannya dan terus berjalan ke arah mereka.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Najib turun di Pulau Pinang untuk berjumpa dengan rakyat baru-baru ini.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini