“Dok main bola lambung”. Itu antara rungutan lazim penyokong Lang Merah yang dapat dibaca dalam media sosial. Ini termasuk selepas merangkul Piala FA, kejuaraan pertama buat jurulatih Aidil Sharin Sahak.
Walaupun bukan semua, tetapi sebahagian penyokong Kedah masih sukar menerima cara pasukan kesayangan mereka bermain musim ini. Walaupun tidak ‘parkir bas’ tetapi terlalu acap menggerakkan serangan menerusi hantaran jauh memang merimaskan.
Gol dari bola mati atau serangan yang digerakkan bermula dengan hantaran jauh bukan sasaran utama tetapi di bawah kendalian jurulatih import dari Singapura itu, taktikal tersebut antara yang banyak digunakan.
Sedangkan Kedah untuk satu tempoh terkenal dengan hantaran pendek, mempunyai penguasaan bola di bahagian tengah yang kemudian menghasilkan serangan tersusun hasil build up menarik.
Ini menyebabkan banyak gol dihasilkan secara sempurna iaitu hasil 40, 50 sentuhan atau lebih sebelum bola menerjah ke jaring lawan.
Dan ini satu kepuasan kepada penyokong yang menonton. Memenuhkan setiap kerusi di Stadium Darul Aman bukan perkara mudah, kemenangan ada kalanya bukan menjamin sedangkan jualan tiket adalah sumbangan utama kepada kantung setiap pasukan.
Penyokong Kedah tentunya bukanlah terlalu demanding seperti peminat Brazil yang mahukan pasukan mereka menang tetapi pada masa sama perlu mengekalkan tradisi skuad Samba iaitu bermain secara cantik, terbuka dan menyerang.
Namun, itulah bola sepak, bukan sekadar memenangi kejuaraan. Sukan itu juga satu seni yang perlu ada padanya elemen menghiburkan bagi menarik penyokong ke stadium.
Di liga utama Eropah, ada jurulatih yang digantikan walaupun memberi kejuaraan. Real Madrid pernah melakukannya ke atas Fabio Capello yang dikritik kerana menerapkan corak permainan yang hambar.
Susah memenuhi kehendak semua tetapi tanpa penyokong apa maknanya bola sepak. Pengurusan Kedah tahu rungutan ini. Apa pun raikanlah dahulu nikmat kejuaraan Piala FA. Ini musim pertama Aidil, salah satu kejuaraan telah dicapai.
Aidil sendiri mungkin memerlukan lebih masa bagi memperlihatkan kepada penyokong Kedah falsafah bola sepak beliau yang sebenar sehingga dilabelkan Pep Guardiola Singapura oleh media Republik itu.
Namun ada juga perkara yang peminat Kedah sepakat berkongsi, keyakinan jurulatih itu kepada bakat-bakat muda tempatan. Bukan sahaja masa bermain tetapi memberi mereka peluang untuk diturunkan dalam aksi genting termasuk final Piala FA malam tadi.
Kepercayaan kepada bakat muda Kedah adalah satu legasi setiap jurulatih Lang Merah. Biar tidak dilimpahi wang sehingga terpaksa melepaskan beberapa pemain di awal musim, namun Kedah tidak pernah pupus dengan ‘ubi’ yang menjadi idaman skuad-skuad lain.
Ini sumbangan Lang Merah untuk Liga Malaysia dan skuad negara khususnya Harimau Muda yang akan beraksi dalam Sukan SEA hujung tahun ini. -UTUSAN ONLINE











