PUTRAJAYA 28 Julai – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kereta yang berlaku di Jambatan Sri Ehsan berhampiran Jabatan Peguam Negara di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 1.30 petang itu mengorbankan Nur Umairah Syakirah Rosdi selepas dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, di dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa bersama enam anggota keluarga terdiri daripada ibu bapa dan tiga adik-beradik lain berusia antara tiga hingga lapan tahun menaiki kereta Perodua Alza.
“Siasatan awal polis mendapati kereta dipandu bapa mangsa ketika itu menuju ke Persiaran Timur telah berlanggar dengan satu lagi kenderaan jenis Audi yang datang dari arah Jalan Tun Hussein.
“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya, walau bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia pada pukul 9.50 malam kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, adik bongsu dan bapa kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan manakala ibu mangsa yang bekerja sebagai guru di sebuah tadika patah kaki kiri dan tulang pinggulnya retak.
“Kakak mangsa yang berusia lapan tahun kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan koma selepas mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri manakala abangnya cedera di kepala serta patah kaki kiri,” katanya.
Ujarnya, pemandu kereta Audi berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN ONLINE











