Iriz, Persona kekal bergaya - Utusan Malaysia

Iriz, Persona kekal bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cantik dan menawan. Itu ungkapan yang bermain di fikiran saat penulis ‘bertemu’ dengan dua model kereta Proton yang diberi wajah baharu, Iriz dan Persona 2019 sewaktu sesi pandu uji ke Tanjong Jara Resort, Dungun, Terengganu, baru-baru ini.

Sebagai seorang pengguna Iriz, sudah tentu perbezaan ke­tara dapat dilihat antara model wajah baharu ini dengan yang lama. Begitu juga dengan Persona semakin mempersonakan.

Kedua-dua model wajah baharu ini dikatakan mengalami lebih 300 pengubahsuaian bagi memastikan perubahan itu bukan sekadar ‘salin kulit’ tetapi melibatkan juga prestasi supaya dapat memaksimumkan ke­puasan pemanduan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bahagian luaran Iriz dan Persona mengalami touch up ­ketara dengan kedua-duanya dilengkapi gril baharu yang tampak lebih garang dan teguh manakala di bahagian belakang pula, tiada lagi logo tetapi digantikan dengan tulisan Proton berbentuk tiga dimensi yang sangat menarik.

Sisi moden

Kemasan berwarna hitam di bahagian atas sehingga ke belakang pada Iriz juga menampakkan sisi moden ditambah pula rekaan bampar belakang baharu yang lebih bergaya pada model hatchback segmen B itu.

Di bahagian hadapan pula, Iriz dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED baharu dan rim aloi pelbagai jejari bersaiz 15 inci yang lebih segar.

Sama seperti Iriz, Persona turut mengalami perubahan de­ngan menampilkan garisan luaran baharu menggambarkan imej sambungan pintar ditambah beberapa elemen estetika dan kemas. Jentera itu juga membawa elemen keluarga Proton yang baharu termasuk rekaan gril hadapan baharu Ethereal Bow sama seperti pada X70.

Bampar belakang baharu yang lebih rendah turut menyerlahkan identiti visual sementara spoiler memberikan rasa sporty. Persona yang dipertingkat ini juga didatangkan dengan rim aluminium 15 inci serta antena berbentuk shark fin.

Melangkah masuk ke bahagian dalam, Iriz tampil dengan imej lebih sporty menerusi panel dan permukaan baharu yang digelapkan manakala Persona pula dihamparkan dengan kemas dua tona iaitu hitam dan krim.

Kedua-duanya turut dilengkapi dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) sama seperti dalam X70 yang mana anda boleh menggunakan arahan suara ‘Hi Proton’. Iriz dan Persona juga dipadankan de­ngan paparan sesentuh tujuh inci di samping sambungan 4G dan WiFi.

Menyeronokkan

Semasa sesi pandu uji tersebut, penulis diberi kesempatan menguji kedua-dua model wajah baharu itu pada varian pa­ling tinggi iaitu 1.6L Premium CVT. Ternyata, kedua-dua jentera ini memberi pengalaman berbeza melalui jalan berliku.

Perjalanan ‘membelah’ Le­buhraya Kuala Lumpur-Karak seperti tidak terasa beban apabila berada dalam kabin Persona. Walaupun mencecah kelajuan sehingga 170 kilometer sejam (km/j), namun suasana dalam kabin masih selesa dengan tiada bunyi bising enjin mahupun deruman angin luar.

Kuasa yang dihasilkan oleh jentera ini bukan sahaja jelas berkesan apabila melalui jalan lurus, malah terasa ringan dan tidak ‘membuang’ apabila mengasak selekoh-selekoh tajam.

Keadaan serupa pada Iriz kerana walaupun bersaiz kecil, namun masih kukuh apabila kuasanya ‘dikerah’ malah tidak terasa ‘membuai’. Kehebatan pengendalian bagi kedua-dua model ini juga tidak boleh di­sangkal sekali gus memberi ­kepuasan pemanduan yang ­lebih menyeronokkan.

Cumanya, walaupun bunyi enjin CVT Iriz tidak lagi ke­dengaran ke dalam kabin, namun deruman angin luar dan seretan tayar tetap kedengaran terutama ketika dipandu laju.

Namun begitu, kedua-dua model ini tetap memberi pe­ngalaman terbaik kepada pengguna dan mampu menyaingi pesaing terdekatnya dalam segmen yang sama.

Iriz 1.6L 
Premium CVT

Enjin:

4 Silinder In-Line 16 Valve DOHC VVT

Kuasa maksimum:

109 PS @ 5,750 rpm

Kilas maksimum:

150 Nm @ 4,000 rpm

Transmisi:

Transmisi berubah-ubah berterusan (CVT)

Harga:

RM46,700

Persona 
Premium CVT

Enjin:

4 Silinder In-Line 16 Valve DOHC VVT

Kuasa maksimum:

109 PS @ 5,750 rpm

Kilas maksimum:

150 Nm @ 4,000 rpm

Transmisi:

Transmisi berubah-ubah berterusan (CVT)

Harga:

RM54,600

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini