KOTA BHARU 28 Julai – Pesakit kanser tidak seharusnya takut ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana kaedah pembedahan besar ‘di bawah pisau’ bukan satu-satunya cara untuk membuang ketumbuhan.
Penyelaras Unit Perawatan Radiologi Intervensi (AMIEN) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Chandran Nadarajan berkata, pihaknya menyediakan pilihan rawatan radiologi intervensi di mana bantuan pengimejan digunakan untuk membunuh ketumbuhan atau kuman kanser.

Beliau yang juga Pakar Radiologi Klinikal dan Intervensi berkata, rawatan tersebut menggunakan kaedah laser dan kemasukan wayar ke dalam salur darah pesakit sekali gus mengecilkan kawasan luka pembedahan serta mengurangkan kesan sampingan seperti jangkitan dan rasa tidak selesa pesakit.
“Benda ini bukan baharu, kalau di Malaysia radiologi intervensi sudah wujud sejak 20 tahun lalu cuma kurang popular dalam kalangan masyarakat negeri ini.
“Kita gunakan imej untuk tengok ketumbuhan dan sasar atau rawat secara langsung berbanding dengan dahulu kita masukkan ubat mengikut tangan sahaja, sekarang bukan macam itu, katakan kanser hati, kita akan masuk ikut salur darah yang ada ketumbuhan itu dan bagi ubat terus di kawasan sasaran.
“Buat masa ini kita menjalankan rawatan kepada dua hingga tiga pesakit kanser sehari dan kebanyakannya adalah bagi penyakit kanser hati, paru-paru dan buah pinggang,” katanya selepas majlis perasmian Seminar Pertubuhan Neuroradiology dan Radiologi Intervensi Pantai Timur (ECSNIR) Kali Ke-8 di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.
Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr Asma Ismail.
Yang turut hadir, Pengarah Hospital USM, Prof. Datuk Ahmad Sukari Halim dan Pengerusi Persatuan ESCNIR, Prof. Dr Mohd Shafie Abdullah.
Seramai 300 peserta terdiri daripada pakar radiologi; pegawai perubatan; juru X-ray; pelajar sarjana perubatan; jururawat dan pembantu perubatan dari seluruh negara termasuk penceramah dari Itali dan Thailand menghadiri seminar dua hari yang bermula hari ini.
Program tersebut dengan tema Meneroka Sempadan Baharu bertujuan mengenengahkan perkembangan terkini dalam bidang onkologi, intervensi radiologi dan kesihatan wanita.
Sementara itu, Chandran berkata, Unit AMIEN Hospital USM adalah pusat rujukan utama bagi radiologi intervensi di Pantai Timur dan merupakan satu-satunya hospital yang mempunyai kepakaran dan kemudahan merawat pesakit dalam bidang itu.
“Rawatan untuk pesakit kanser sebenarnya melibatkan pelbagai jenis rawatan dan kami yang dalam bidang berbeza termasuk pakar pembedahan kini lebih banyak duduk bersama dan berhubung untuk menentukan kaedah terbaik kepada pesakit.
“Apa yang penting kita mahu pesakit datang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal di hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE











