JAKARTA 8 Jun – Parti Demokrat yang merupakan satu daripada parti gabungan menyokong calon Presiden nombor dua, Prabowo Subianto dilaporkan bakal bergabung dengan Presiden, Joko Widodo atau Jokowi.
Tribun News melaporkan, meskipun setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan parti itu namun gerak-geri ahli parti memperlihatkan ‘penghijrahan’ sokongan kepada Jokowi sedang berlaku.
Bahkan, angin perubahan itu jelas kelihatan ketika cadangan penubuhan jawatankuasa berkaitan dengan pelaksanaan pemilihan umum (Pemilu) diusulkan oleh Parti Keadilan Sejahtera (PKS) serta disokong oleh Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), pimpinan Prabowo, bulan lalu.
Parti Demokrat dan Parti Amanah Nasional (PAN) dikatakan mengambil langkah selamat dengan mendiamkan diri ketika usul itu dicadangkan.
Desas-desus yang mengatakan parti Demokrat itu akan meninggalkan gabungan Prabowo mula tersebar sebelum hari pengundian, namun Setiausaha Agung parti ketika itu menafikan dan menyifatkannya sebagai khabar angin.
Baru-baru ini, pendedahan Penasihat undang-undang Parti Demokrat, Ferdinand Hutahaean mengenai hubungan Ketua Gerindra dan Ketua BPN Koalisi Indonesia Adil Makmur yang sedikit ‘tercalar’ menguatkan lagi desas-desus itu.
“Hubungan parti Demokrat dengan gabungan calon nombor dua sedikit terganggu terutamanya pada hari-hari terakhir pengundian. Kami berpendapat kerjasama ini tidak lagi terjalin dan merasakan kami bukan lagi di bawah satu gabungan yang sama,” jelasnya.
Ferdinand turut memberitahu bahawa, Prabowo tidak pernah menerima cadangan yang dikemukakan oleh parti Demokrat sebelum ini, sebaliknya Prabowo terlalu menurut kata orang lain.
“Prabowo tidak pernah mendengar pandangan parti Demokrat kerana beliau lebih gemar mengikut cakap mereka yang kalah. Hanya mereka yang kalah sahaja berada di sekeliling beliau. Jadi kami marah, pandangan kami tidak pernah diterima.
“Malah Ketua Dewan Kehormat Parti Amanah Nasional (PAN) Amien Rais yang rapat dengan beliau pun adalah seorang yang kalah,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, sebagai reaksi balas kepada kenyataan itu, jurucakap Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo-Sandiaga Uno, Andre Rosiade dalam Twitternya secara sinis ‘mempersilakan’ parti Demokrat untuk menyertai gabungan calon Presiden nombor satu.
“Kalau Demokrat mahu bergabung dengan gabungan nombor satu atau Agus Harimurti Yudhoyono mahu menjadi menteri Jokowi, silakan pergi,” tegasnya.
Pada masa sama, Andre turut menafikan kononnya Prabowo-Sandiaga menuduh pemimpin parti Demokrat atas kekalahan mereka dalam pilihan raya umum yang lalu. – AGENSI











