KUALA LUMPUR 30 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu sejak 17 Mei sehingga hari ini selepas disyaki terlibat dalam kumpulan militan.
Kesemua mereka yang ditahan terdiri seorang warga tempatan diikuti Indonesia (1) dan Bangladesh (1).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador berkata, tangkapan pertama dilakukan pihaknya pada 17 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika hendak berlepas ke Mesir bagi menyertai kumpulan militan di sana.
Ujarnya, suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu dikatakan berpegang kuat kepada ideologi Salafi Jihadi dan menolak sistem demokrasi berparlimen.
“Dalam tangkapan kedua pula telah dilakukan pada 26 Mei lalu di Keningau, Sabah melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 20 tahun.
“Suspek dikatakan telah berbaiah dengan pemimpin kumpulan pengganas Islamic State, Abu Bakar Al-Baghdadi melalui aplikasi telegram selain menjadi fasilitator kepada anggota kumpulan terbabit yang berada di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamid memberitahu, tangkapan ketika pula telah dilakukan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh di Kuala Kedah dekat sini pada 30 Mei lalu.
Jelasnya, suspek berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pembantu mekanik enjin kapal itu disyaki menyokong kumpulan militan Islamic State Bangladesh selain memiliki bahan kimia serta kepakaran untuk menghasilkan Improvised Explosive Devide (IED).
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan berkaitan dengan keganasan Kanun Keseksaan (AKTA 574) dan mengikut prosedur di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
“Dalam pada itu, PDRM turut mengesan seorang lagi ahli kumpulan ini dikenali sebagai Marwan berusia 30 tahun di alamat terakhir Kampung Keritan Laut, Keningau Sabah kerana bertindak sebagai fasilitator kepada anggota Islamic State Indonesia yang berada di Sabah,” jelasnya.
Sehubungan itu, Tambah Hamid, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Razizuan Mohd. Razali di talian 017-3278435 atau tampil di mana-mana balai berhampiran.-UTUSAN ONLINE











