Resorts World Genting raikan anak yatim, warga emas - Utusan Malaysia

Resorts World Genting raikan anak yatim, warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mei – Pengendali pusat peranginan, Resorts World Genting meraikan seramai 170 anak-anak yatim dan warga emas dalam majlis berbuka puasa serta mengadakan pelbagai aktiviti menarik kepada mereka di Genting Highlands Bentong, Pahang baru-baru ini.

Menurut Resorts World Genting, seramai 158 orang daripada tiga rumah anak yatim iaitu Dar Asnaf Al-Fateh Gombak, Rumah Kasih Nurul Hasanah, Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin serta 12 warga emas dari Pusat Jagaan Warga Emas Husna Arrashid di bawa ke pusat peranginan tersebut seawal pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang.

Setibanya di Hotel Genting Grand, kesemua mereka disambut kakitangan Resorts World Genting yang turut disertai isteri kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Malaysia Bhd. (Genting), Puan Seri Cecilia Lim, Naib Presiden Eksekutif Leisure dan Hospitaliti Genting, Datuk Edward Hollaway dan Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi syarikat, Katherine Chew.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika menyambut kesemua mereka, Lim dalam ucapannya, beliau berterima kasih kepada mereka yang sudi hadir ke majlis yang dianjurkan.

“Bulan Ramadan merupakan bulan yang suci buat rakan-rakan beragama Islam yang menjalani ibadah puasa. Bulan ini juga merupakan satu daripada masa buat kami menghulurkan tangan dan juga sebahagian daripada cara Resorts World Genting berbakti kepada masyarakat,” katanya dalam majlis tersebut mengikut siaran akhbar oleh Genting baru-baru ini.

Mereka yang diraikan turut dibawa ke pelbagai tempat menarik di pusat peranginan itu seperti pusat beli-belah SkyAvenue, menyaksikan persembahan Batman Experience di pentas SkySymphony, merasai suasana sejuk dan bersalji Snow World, menyaksikan dinosaur di Adventureland dan Pusat Penyelidikan Jurassic serta pameran unik Ripley’s Believe it or Not.

Seorang warga emas dari Pusat Jagaan Warga Emas Husna Arrashid, Abu Hassan berkata, beliau pernah juga melawat Genting sepanjang 10 tahun lalu bersama ahli keluarga dan mempunyai banyak kenangan indah.

“Walaupun insan-insan tersayang sudah tiada, saya selalu terkenangkan mereka ketika bulan Ramadan dan saya rasa seperti orang muda kembali hari ini kerana dapat bergembira dengan pelbagai aktiviti,“ katanya.

Jelas pihak penganjur, mereka yang diraikan turut dibawa bersiar-siar di Genting Highlands termasuk menaiki kereta kabel Awana Skyway di SkyAvenue sebelum tiba di Hotel Awana dan Rajawali Coffee House dengan lebih 100 juadah berbuka puasa disediakan.

Juadah disediakan termasuklah ayam percik, murtabak, nasi beriani, kambing golek, makanan laut segar dan pelbagai pilihan kuih tradisional.

Fida daripada Rumah Kasih Nurul Hasanah melahirkan kegembirannya terhadap pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Walaupun kami jarang ke Bazar Ramadan, saya dapat merasai kemeriahan berada di sana hari ini dengan pelbagai pilihan bufet menarik. Saya juga amat gembira melihat beberapa pertunjukan, menaiki kereta kabel dan bertemu Batman,” katanya.

Sebelum majlis berakhir, kesemua mereka turut menerima hamper dan beg hadiah berupa beras, minyak masak, minuman Milo, mi segera berjenama Maggi, bihun dan biskut sementara warga emas menerima beg hadiah mengandungi barangan kemudahan harian seperti berus dan ubat gigi, syampu, sabun mandian, krim badan serta Minyak Cap Kapak.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini