KUALA LUMPUR 30 Mei – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes rasuah berhubung projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid sekolah di Sarawak melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pegawai khas, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor dibicarakan bersama.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun menolak permohonan pihak pendakwaan untuk kes pengubahan wang haram yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri dibicarakan bersama kedua-dua kes rasuah itu.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 32 hari bermula 3 Februari 2020 untuk perbicaraan kes rasuah solar yang dihadapi Rosmah dan Rizal.
Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 20 hari bermula 3 Mei tahun depan untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pada 4 Oktober tahun lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.
Bagi kes melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak pula, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta, dua tahun lalu.
Sementara itu, pada 15 November tahun sama, Rizal, didakwa mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah melibatkan projek sama. – UTUSAN ONLINE.











