JERANTUT – Keceriaan jelas terpancar di wajah 30 anak yatim dan kanak-kanak miskin apabila diberi peluang membeli pakaian raya sendiri di Pasaraya Big 10, di sini hari ini.
Program persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali kedua anjuran Pejabat Parlimen Jerantut itu turut mendapat kerjasama pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jerantut.
Ahli Parlimennya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kanak-kanak yang terpilih diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian kesukaan mereka dengan kos RM150 seorang.
“Kita telah memilih 90 kanak-kanak kurang bernasib baik di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Damak, Tahan dan Pulau Tawar dengan masing-masing 30 orang setiap kawasan.
“Hari ini kita raikan kanak-kanak bagi DUN Damak dan 60 orang lagi akan menyusul kemudian dengan melibatkan kos keseluruhan RM13,500,” katanya hari ini.
Menurutnya, program berkenaan bertujuan berkongsi kegembiraan dalam membuat persiapan menyambut 1 Syawal akan tiba tidak lama lagi.
“Program ini juga dapat membantu mengurangkan beban penjaga masing-masing dalam menguruskan persiapan menyambut Aidilfitri,” jelasnya.
Seorang murid Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut, Puteri Nuralia Abdul Karim, 7, memberitahu, dia sangat seronok dan gembira apabila dapat memilih pakaian sendiri.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang menganjurkan program ini,” ujarnya. – K! ONLINE











