KUALA LUMPUR 30 Mei – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sekali lagi didesak supaya memohon maaf kerana kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan peluang pekerjaan untuk golongan bumiputera dengan kuota matrikulasi.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, berdasarkan kaji selidik Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), hanya 18 peratus syarikat perniagaan di negara ini meletakkan syarat kemahiran bahasa Mandarin sebagai keperluan korporat.
Jelas beliau, selebihnya iaitu 82 peratus pula tidak menyatakan penguasaan bahasa Mandarin sebagai keperluan dalam pengambilan pekerja.
“Kaji selidik itu membuktikan kenyataan Maszlee tidak berasas dan sepenuhnya adalah pandangan perkaumannya sendiri.
“Walaupun terdapat beberapa syarikat perniagaan menetapkan keperluan penguasaan bahasa Mandarin, ia hanya sebahagian kecil dalam pasaran pekerjaan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Dominic menggesa supaya Maszlee menarik balik kenyataannya itu dan memohon maaf kepada orang ramai khususnya ahli perniagaan Cina.
Pada 16 Mei lalu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata di hadapan penuntut-penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera. – UTUSAN ONLINE











