KUALA LUMPUR 30 Mei- Selepas hampir empat jam diburu, lelaki yang bertindak memecahkan cermin kereta seorang wanita di Taman Bukit Serdang, Seri Kembang dekat sini, kelmarin akhirnya ditahan polis, tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 3 petang di sebuah kilang di Balakong dekat sini.
“Suspek yang bekerja sebagai pembantu stor ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Serdang.
“Kita juga merampas sebuah motosikal serta helmet dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Ismadi, pihaknya akan mendapatkan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Petaling Jaya, esok.
Tambahnya, bagaimanapun, siasatan lanjut sedang diteruskan.
Kelmarin, dua buah motosikal ditunggangi dua lelaki yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dikatakan berhenti mengejut dihadapan sebuah kereta Proton Axia sehingga menyebabkan pemandu wanita kenderaan itu terpaksa membrek dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang.
Bagaimanapun, seorang daripada penunggang motosikal tersebut tiba-tiba memukul cermin hadapan kenderaan itu menggunakan helmet sehingga retak.
Perbuatan lelaki itu dipercayai disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilik kereta berkenaan kerana membunyikan hon terhadap mereka.-UTUSAN ONLINE











