KKM jalankan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 - Utusan Malaysia

KKM jalankan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019) sedang dijalankan untuk mendapatkan maklumat mengenai indikator-indikator utama kesihatan dan keperluan penjagaan kesihatan penduduk di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, NHMS 2019 yang kini dalam kitaran keenam diselaraskan oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IPSK) dan Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK).

Beliau berkata, kajian akan bertumpu kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) dan permintaan penjagaan kesihatan, penggunaan dan kos.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tahun ini, Tinjauan Kesihatan Pedalaman Sarawak digabungkan dengan NHMS bagi mendapatkan data penting status kesihatan komuniti yang tinggal di pedalaman Sarawak.

“ Tinjauan di lapangan akan berjalan dari April sehingga September 2019. Maklumat akan dikumpulkan melalui temubual secara bersemuka dengan orang dewasa dan kanak-kanak yang layak di 12,000 isi rumah yang dipilih secara rawak di seluruh negara, meliputi kira-kira 30,000 responden, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, fasa tinjauan awal sedang dijalankan dari April hingga Jun ini, di mana pegawai-pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri melawat isi rumah terpilih dan memberitahu mereka mengenai tinjauan berkenaan.

Risalah maklumat tentang tinjauan itu juga katanya, akan diberikan kepada responden dan mereka dinasihatkan untuk menjangkakan kunjungan kali kedua semasa fasa pengumpulan data iaitu dari Julai hingga September, di mana pasukan penemubual terlatih akan melawat isi rumah terbabit untuk mengadakan temubual penuh.

“Tinjauan ini akan meliputi soalan-soalan mengenai topik seperti aktiviti fizikal, pemakanan dan isu-isu kesihatan yang lain.

“Selain itu, pengukuran berat badan, tinggi, ukur lilit pinggang, tekanan darah dan ujian darah dari hujung jari untuk memeriksa paras gula, kolesterol dan haemoglobin (sel darah merah) juga akan dilaksanakan ke atas responden yang telah bersetuju,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian NHMS di 03-33628793 atau kunjungi http://iku.gov.my/nhms. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini