KUALA LUMPUR 30 Mei – Syarikat pembinaan, Kerjaya Prospek Group Bhd. menyasarkan untuk menambah nilai perolehan kontrak dalam tangannya kepada RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, peningkatan 20 peratus daripada RM989.8 juta nilai kontrak yang diperoleh tahun lepas.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Tee Eng Ho berkata, sasaran itu boleh dicapai memandangkan pihaknya telah memperoleh kontrak bernilai RM873 juta setakat 31 Mac 2019.
“Kami membida kontrak bernilai kira-kira RM1.5 bilion dan menetapkan sasaran RM1.2 bilion. Tiada masalah untuk kami mencapainya,” katanya semasa taklimat media dan penganalisis mengenai prestasi kewangan suku pertama syarikat itu di sini hari ini.
Keuntungan bersih Kerjaya Prospek meningkat 8.58 peratus kepada RM35.12 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2019 daripada RM32.35 juta yang direkodkan pada suku yang sama 2018.
Perolehan meningkat 3.54 peratus kepada RM264.18 juta daripada RM255.14 juta bagi tempoh yang sama.
Nilai perolehan kontrak dalam tangan yang belum diselesaikan adalah RM3.1 bilion sekali gus akan merancakkan aktiviti syarikat bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Mengenai prospek, Eng Ho berkata, industri itu menjangkakan prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini dengan permintaan terhadap projek bangunan bertingkat tinggi kekal kukuh.
Beliau berkata, syarikat merancang untuk menjalinkan perkongsian usaha sama terutama bagi projek pembangunan bertingkat tinggi di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Kerjaya Prospek menyasarkan untuk melancarkan dua projek bangunan bertingkat tinggi tahun depan iaitu di Shah Alam, Selangor dan Dutamas dengan gabungan nilai pembangunan kasar RM650 juta. – BERNAMA











