Bergaya persis artis kesayangan pastinya menjadi impian setiap individu. Namun, faktor ekonomi dan kos sara hidup yang tidak menentu menjadi penghalang buat ‘kaki fesyen’ untuk bergaya.
Koleksi selebriti dalam pasaran agak mahal untuk dimiliki oleh orang kebanyakan menyebabkan hab fesyen selebriti terkenal, Starvillion hadir mengetengahkan koleksi selebriti pada harga mampu milik.

Justeru, impian untuk memperagakan koleksi artis kesayangan pasti tercapai pada tahun ini apabila Starvillion memperkenalkan sebanyak 20 koleksi selebriti yang terdiri dari 17 jenama.
Lebih menarik, koleksi tersebut bukan sahaja boleh didapati di butik atau cawangan Starvillion, malah kini boleh dibeli di kedai pop up yang terletak di Isetan dan Suria KLCC yang berharga antara RM299 hingga RM489.
Menurut pengasas Starvillion, Zeileen Yusnita Abd. Jalil, kedai pop up tersebut dibuka sehingga Jun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.
“Saya berharap pihak pengurusan Isetan boleh memberi peluang untuk membuka kedai secara tetap di pusat beli-belah ini bagi memudahkan pembeli mendapatkan koleksi pakaian di kawasan tumpuan pelancong seperti KLCC.
“Rekaan busana ini bukan sahaja sesuai digayakan sempena Aidilfitri, malah juga direka khas bagi mereka yang bekerja dan tinggal di bandar,” katanya.
Antara artis yang terlibat adalah Hisyam Hamid, Wany Hasrita, Farah Nabilah, Zahirah Macwilson, Jihan Muse dan usahawan terkenal, Puteri Zarith.
Tambahnya, kerjasama bersama Isetan Kuala Lumpur merupakan satu kempen raya yang memperkenalkan koleksi pelbagai warna, cetakan dan fabrik, hasil ilham artis serta Starvillion sendiri.
“Terdapat kira-kira 200 koleksi dan lebih 1,000 warna yang akan memberi kelebihan kepada koleksi Starvillion Balik Raya yang memfokuskan rekaan moden glamor.
“Sebanyak 200,000 pasang pakaian akan dijual di cawangan Starvillion dan kedai pop up di seluruh Malaysia,” tambahnya.











