KOTA BHARU 6 April – Sebanyak 200 individu mendakwa mengalami kerugian lebih RM10 juta selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pembelian produk selepas membuat pelaburan tunai dengan sebuah syarikat menjual kopi.
Hari ini, kira-kira pukul 10 pagi, lebih 40 mangsa yang terdiri daripada guru, peniaga, pekerja swasta dan kakitangan kerajaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Penyelaras Gerakan Tuntutan Hak Ahli (Gertak), Bajili Bakri berkata, setiap mangsa yang membuat laporan polis hari ini dikatakan mengalami kerugian di antara RM10,000 sehingga RM100,00 seorang.
Katanya, beliau turut diperdaya dan mengalami kerugian sebanyak RM70,000 daripada sebuah syarikat yang beroperasi sejak 2013 dan diterajui oleh seorang lelaki bergerlas ‘Datuk Seri’
“Kami semua dianiaya oleh syarikat berkenaan yang telah melanggar perjanjian hak-hak ahli.
“Syarikat ini mengubah syarat dengan sesuka hati sehingga menyulitkan kami dan ada unsur-unsur penipuan dengan mewujudkan pelbagai alasan demi untuk menafikan hak-hak ahli,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD Kota Bharu di sini hari ini.
Menurut Bajili, pada mulanya setiap ahli hanya perlu mengeluarkan modal membuat pembelian produk berdasarkan pakej yang ingin disertai.
Katanya, kesemua mangsa dijanjikan menerima produk sama ada kopi atau barangan lain mengikut pilihan ahli berserta hibah tunai secara tetap setiap bulan selama 12 bulan mengikut pakej ditetapkan tetapi tidak dilaksanakan.
Sementara itu, rakannya, Zakaria Majid berkata, dia membuat pelaburan hampir RM100,000 sebagai rakan eksklusif sejak tahun 2015 kerana terpengaruh dengan promosi besar-besaran syarikat tersebut termasuk menaja pelbagai rancangan televisyen.
“Pada awal permulaan saya menerima bayaran dijanjikan namun selepas Julai 2016, semua pembayaran hibah tunai yang patut diterima oleh ahli seperti dijanjikan tidak dibuat syarikat itu hingga kini.
“Duit simpanan di dalam Tabung Haji habis saya keluarkan untuk membuat pelaburan dalam skim tersebut dan menyebabkan saya tidak dapat menunaikan haji,” katanya.
Jelasnya, dia mengetahui perjanjian telah diseleweng oleh syarikat itu dan ramai di antara mereka berputih mata serta kerugian beratus ribu. – UTUSAN ONLINE











