PH tetap mahu pindahkan pusat pelupusan sisa toksik - Utusan Malaysia

PH tetap mahu pindahkan pusat pelupusan sisa toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 29 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri ini mengulangi pendirian supaya pusat pelupusan sisa toksik Kualiti Alam di Bukit Nenas berdekatan Sendayan di sini dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, parti yang memerintah kini tetap berpegang dengan pendirian itu yang sering disuarakan semasa PH masih menjadi pembangkang.

Katanya, kerajaan negeri telah mengemukakan surat kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan pendirian tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, kerajaan negeri masih meneruskan rundingan dengan Cenviro Sdn. Bhd. yang mengendalikan pusat tersebut bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kok Seong (DAP-Bahau) berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) mengenai pendirian kerajaan negeri terhadap pusat pelupusan itu.

Menurut bekas Menteri Besar itu, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pembangkang sering mendesak pusat tersebut dipindahkan ekoran aduan penduduk Kampung Felda Sendayan dan Bandar Sri Sendayan yang bimbang keselamatan mereka.

Pusat pengurusan sisa Kualiti Alam mula dibina pada tahun 1992 dan menerima sisa toksik pertamanya pada 1996 serta diberi lesen untuk beroperasi sehingga tahun 2015 dan disambung selama 15 tahun lagi.

Kawasan seluas 56 hektar itu menyediakan pengangkutan, analisis, rawatan dan pelupusan akhir buangan berjadual.

Kok Seong memberitahu, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat dengan pengurusan pusat pelupusan sisa toksik itu meminta langkah keselamatan diperketatkan dan ditambah baik daripada semasa ke semasa.

“Saya minta semua ahli-ahli dewan bersama-sama dengan kerajaan negeri membantu dalam isu alam sekitar bagi memastikan negeri ini bebas daripada pencemaran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini