IPOH 29 April – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan untuk siasatan setelah disyaki melakukan seks oral ke atas kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di tandas sebuah pasar raya di Station 18 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suspek berusia 29 tahun dan bekerja sebagai pemotong buah di pasar raya berkenaan melakukan perbuatan tersebut selepas mangsa selesai membuang air kecil.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, perbuatan lelaki itu terbongkar setelah mangsa yang keluar dari tandas dengan keadaan muka yang pucat telah mengadu kepada ibunya tentang perbuatan suspek yang menghisap kemaluannya.
Katanya, ibu mangsa telah menunggu lelaki terbabit di luar tandas berkenaan namun sebaik sahaja melihat mangsa dan ibunya, suspek telah berpatah semula dan mengunci dirinya di dalam tandas tersebut.
“Wanita itu telah meminta bantuan orang awam dan adiknya untuk menangkap suspek. Suspek yang ditahan merupakan warga Bangladesh dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Suspek akan direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 5 Mei depan untuk siasatan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











