KUALA LUMPUR 29 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala di semua panggung wayang di seluruh negeri sejak 24 April lalu.
Menurut portal Utusan Borneo, Pengarahnya, Datuk Stanley Tan berkata, pemeriksaan itu dijalankan bagi menangani isu cetak rompak secara langsung dalam media sosial oleh sindiket atau pihak tertentu yang merakam ketika filem ditayangkan di pawagam.
Menurut beliau, sebanyak 52 pemeriksaan telah dibuat melibatkan sembilan premis panggung wayang di seluruh Sarawak seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Setakat pemeriksaan yang telah dijalankan, tiada tangkapan atau tindakan curi rakam dikesan. Malah orang awam telah memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi arahan anti rakaman kamera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan Pemeriksaan Terhadap Kesalahan Seksyen 43A Anti Rakaman Kamera di bawah Akta Hak Cipta 1987 di Panggung Wayang Gambar di MBO The Spring dan GSC CityOne Megamall. Sarawak semalam. – UTUSAN ONLINE










