Keenakan masak lemak cili api salai - Utusan Malaysia

Keenakan masak lemak cili api salai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggemar masakan lemak cili api yang berasaskan salai sekitar Putrajaya tidak perlu pergi jauh untuk menjamu selera. Singgah sahaja ke Restoran Seri Menanti House of Salai yang terletak di Bukit Dugang, Jalan Sungai Merab, kira-kira 10 kilometer dari Pusat Konvensyen Antarbangsa ­(PICC).

Bukan sahaja gulai itik salai, ikan keli salai atau ayam salai, restoran yang diusahakan oleh Arbee Catering yang terkenal dengan keenakan masakan rendang daging turut menyajikan pelbagai juadah lain yang pasti memenuhi citarasa pelanggan.

Lebih menarik, penyediaan bahan mentah salai dilakukan di dalam `rumah salai’ khas iaitu dua ruang tertutup berdindingkan batu bata untuk menggantung bahan mentah manakala di bahagian bawah disediakan bahan bakar daripada tempurung kelapa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata Pengurus restoran, Suraya Mohd. Yusof, 38, teknik ini menjadikan bahan mentah masak sekata dengan tekstur yang lebih menarik tanpa kesan hangus yang boleh memberi rasa pahit kepada masakan.

“Semua bahan mentah ini terutama itik dan ayam akan disalai lebih lima jam dalam rumah salai,’’ katanya yang ditemani oleh suaminya yang juga Pengurus Operasi, Ahmad Fauzan Ramly.

Selain gulai salai, para pelanggan boleh menjamu selera dengan masakan kampung lain seperti masak lemak cili api perut lembu, nangka, pisang muda dan rebung. Kesemuanya menggunakan santan segar.

Penggemar rendang itik dan daging ataupun penggemar masak lemak cili api perut lembu perlu mencuba juadah ini yang turut dihidangkan di restoran tersebut.

Jika tidak menggemari gulai salai, restoran ini juga menyediakan juadah lain termasuklah pelbagai jenis ikan goreng dan ayam kampung goreng, pelbagai jenis kerabu antaranya kerabu perut, kerabu daging salai dan kerabu taugeh bersama daun selom dan mangga muda atau asam pedas daging tetel serta pelbagai juadah lain.

Kesemua masakan itu disediakan tukang masak yang berkaliber diketuai oleh Ketua Cef, Saiful Ibrahim, 36, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan telah bertugas dengan Arbee Catering sejak 15 tahun lalu.

Pelanggan yang tercari-cari makanan lain selain nasi boleh mencuba pelbagai soto, laksa penang, mi, bihun atau kuey tiaw sup atau kari. Mereka juga boleh mencuba pencuci mulut seperti bubur chacha, bubur kacang hijau dan bubur gandum jagung.

Dalam pada itu menurut Ahmad Fauzan, Seri Menanti House of Salai baru beroperasi 30 Mac lalu dan kewujudannya adalah untuk meneruskan legasi bapanya, Ramly Busu yang terkenal dalam bidang katering selama 34 tahun.

Restoran itu boleh memuatkan kira-kira 400 pelanggan pada satu-satu masa selain menyediakan bilik tetamu khas dilengkapi dengan pendingin hawa. Bilik tersebut khusus untuk mereka yang mahu mengadakan jamuan dalam kumpulan kecil.

Selain persekitaran restoran ini yang dikelilingi oleh kawasan hijau, kawasan tempat kereta yang luas untuk pelanggan turut disediakan selain surau wanita dan lelaki yang boleh memuatkan kira-kira 20 jemaah.

Restoran Seri Menanti House of Salai beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam. Bermula pukul 4 petang, restoran ini menyediakan masakan panas untuk pelanggan. Menu baharu iaitu ikan bakar juga akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini