KUALA LUMPUR 29 April – Pasukan ranking 10 dunia, Kanada menamatkan aksi Kumpulan A Siri Akhir FIH dengan kemenangan 6-2 ke atas Belarus di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Kanada mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan berlangsung.
Kini peluang Kanada untuk melangkah ke saingan separuh akhir bergantung ke atas keputusan diraih Wales dalam aksi menentang Austria pada lewat petang ini.
Sekiranya Wales yang telah mengumpul enam mata selepas dua perlawanan gagal meraih kemenangan ke atas Austria maka Kanada akan melangkah ke saingan empat terakhir selaku juara kumpulan A.
Dalam perlawanan tersebut enam gol Kanada dijaringkan oleh Brenden Bissett pada minit ke-20 dan ke-21, Oliver Scholfield pada minit ke-32, James Wallace pada minit ke-41, Lain Smythe pada minit ke-42 dan Scott Tupper pada minit ke-60.
Sementara itu, dua gol Belarus dijaringkan oleh Vadzim Bandarchuk pada minit ke-40 dan Ihar Yahoshchankau pada minit ke-52. – UTUSAN ONLINE











