KUALA NERUS – Program Food Bank Siswa Malaysia akan diperluas kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini pihaknya masih memfokuskan program itu di universiti awam (UA) dengan sasaran pelaksanaan program di 20 UA sebelum Disember ini.
“Ia akan diperluaskan di universiti swasta yang lain dan kolej komuniti, sekolah agama, Institut Pendidikan Perguruan (IPG)* semuanya dalam perhatian kita.
“Saya yakin program ini akan jadi satu gerakan kesukarelawanan yang baik, banyak memberi faedah kepada penerima di samping kita mendidik masyarakat untuk mengelak pembaziran. Saya optimis Food Bank Siswa ini akan pantas berkembang dengan komitmen tinggi pelbagai pihak,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2019 dan Food Bank Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini. – Bernama











