KOTA BHARU 6 April – Pas yakin kecenderungan parti itu menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lebih menguntungkan Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Dr Mahathir setakat ini dilihat lebih bersedia untuk membuat tindakan demi kepentingan agama dan negara.
Hashim berkata, paling terbaharu adalah keputusan beliau menarik balik tindakan meratifikasi Statut Rom Mahkamah Antarabangsa (ICC).
“Setakat hari ini, mendekati Mahathir lebih menguntungkan Islam daripada Anwar, banyak benda, macam (Statut Rom) itu dia tarik balik, kita sambut baik bila buat sesuatu untuk kepentingan Islam.
“Jika perkara untungkan Islam kita bersama, tidak kira, sebab itu setakat sekarang ini dari Presiden, Setiausaha Agung, Majlis Syura, kami nilai untung atau tidak Islam, mungkin dalam satu saja perkara untungkan tapi lain tidak. jadi kami sokong hak itu.
“Itu kaedah kita pegang, yang mudah, sebab itu kita buat apa-apa keputusan pastikan tidak bercanggah dengan syariah, sebagai contoh bertolong-tolonglah kamu dalam membuat kebajikan dan pahala,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke 52 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pas yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.
Dalam pada itu, Hashim berkata, beliau bersyukur kerana hubungan antara Pas dan UMNO hari ini semakin rapat.
“Permusuhan antara Pas dan UMNO ini sangat lama, jadi pada awal dahulu bila timbul hasrat bekerjasama saya bimbang kalau peringkat bawah bising, tapi nampaknya semua faham, kalau ada sedikit suara tidak setuju itu biasa, tidak bahaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











