RABU ini iaitu bersamaan 1 Mei pada setiap tahun, Malaysia meraikan sambutan Hari Pekerja sebagai penghargaan kepada mereka yang bertungkus lumus melaksanakan amanah dalam pekerjaan masing-masing.
Ia bukan hanya ditujukan kepada pekerja dalam perkhidmatan awam, malah sektor swasta dan orang persendirian dengan pelbagai tugas.
Walau bagaimanapun, masih ramai tidak dapat memahami apa itu dimaksudkan dengan kerja sebenarnya. Buktinya jelas apabila masih ramai dalam kalangan graduan universiti masih mencari kerja dan masih menganggur.
Kebanyakan mereka menyalahkan pihak lain termasuklah kerajaan, majikan, masyarakat dan negara. Mereka tidak pernah menyalahkan diri sendiri yang gagal memahami apa itu kerja.
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat ke 105 maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) Bekerjalah kamu semua, maka Allah akan melihat kerja kamu semua. Begitu juga Rasul-Nya dan sekalian orang yang beriman akan melihat kerja-kerja kamu semua.”
Jika difahami daripada ayat ini, ia jelas menunjukkan bahawa kerja itu ada. Allah menyuruh kita melakukan kerja. Hidup di dunia pasti ada kerja dan kita mesti membuat kerja. Dengan erti kata lain, hidup di dunia mesti ada kerja.
Untuk melakukan kerja (ain mim lam) yang cemerlang, kita hendaklah ada ilmu (ain lam mim) . Gabungan antara ilmu dan amal (kerja) barulah menghasilkan natijah cemerlang (lam mim ain).
Jika ilmu dan amal digabungkan dengan betul sudah pasti kejayaan yang gilang gemilang akan dapat dihasilkan. Selamat bekerja dengan menggunakan ilmu yang dipelajari!














