SUNGAI PETANI 21 April – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menawarkan diskaun sebanyak RM150 kepada pengunjung karnival Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 untuk membuat penulisan wasiat secara asas.
Pengerusi AmanahRaya, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, diskaun tersebut hanya ditawarkan kepada pengunjung sepanjang MSAM 2019 yang akan berakhir Khamis ini.
Menurut beliau, berbanding harga asal yang dikenakan sebanyak RM500, orang ramai yang membuat pendaftaran penulisan wasiat di ruang pameran AmanahRaya hanya akan dikenakan RM350.
“Diskaun sebanyak 30 peratus ini hanya ditawarkan kepada pengunjung MSAM 2019, jadi orang ramai perlu merebut peluang tersebut kerana penulisan wasiat amat penting ketika ini.
“Selain itu, AmanahRaya turut menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus bagi Fi Penerimaan pusaka dan amanah kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di ruang pameran AmanahRaya sempena MSAM 2019 di pekarangan Amanjaya Mall, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nasir berkata, sebagai pemegang amanah kepada dana-dana saham termasuk dibawah Permodalan Nasional Berhad (PNB), AmanahRaya sentiasa menyokong karnival seperti itu untuk meningkatkan lagi kesedaran orang ramai berkaitan kepentingan wasiat dan pusaka.
“Malah, dengan pembukaan lebih banyak pejabat cawangan di seluruh negara termasuk yang terkini di Sibu, Sarawak, kami berupaya menyediakan perkhidmatan dengan lebih berkesan dan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, pihaknya sedang merancang untuk membuka beberapa buah lagi pejabat cawangan di seluruh negara pada masa akan datang.
“Sekiranya mengikut perancangan, sekurang-kurangnya sebuah lagi pejabat cawangan akan dibuka tahun ini yang lokasinya sedang dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











