PULAU PINANG 29 April – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan lima buah bot pukat tunda kelas C di perairan Kuala Kurau, Perak, Sabtu lalu selepas dikesan melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.
Ketika ditahan dalam Op Gelora antara pukul 4 petang hingga 5.15 petang itu, kesemua bot tersebut membawa seramai lima tekong dan 20 awak-awak warga Thailand.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pemeriksaan mendapati kesemua warga Thailand yang ditahan berusia antara 42 hingga 51 tahun itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menggunakan bot milik majikan warga tempatan.
Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas sebanyak 3,200 tan pelbagai jenis hasil laut bernilai RM20,000 serta peralatan menangkap ikan dan lima bot bernilai kira-kira RM2 juta.
“Operasi ini dijalankan selepas kita mendapat aduan daripada nelayan pantai yang mendakwa kawasan tangkapan mereka diceroboh oleh bot pukat tunda kelas C.
“Tindakan pencerobohan itu menyebabkan kerosakan habitat dan anak-anak ikan selain bot berkenaan juga dikesan mengutip hasil laut yang lumayan dengan menangkap ikan menggunakan pukat tunda,” katanya.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat. – UTUSAN ONLINE











