JAKARTA 12 Mac – Guru mengaji Joko Widodo atau Jokowi, Abdul Karim Ahmad menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan status Islam calon Presiden nombor satu Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) serta mengaitkan beliau dengan Parti Komunis Indonesia (PKI).
Abdul Karim yang mengenali Jokowi sebelum ahli politik itu memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Solo menegaskan, keislaman beliau tidak perlu diragukan justeru meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan tindakan mereka menyebarkan pembohongan tentang keislaman Jokowi.
Abdul Karim sebagaimana lapor Republika.co. id turut mencabar pihak-pihak yang membuat pertuduhan tersebut agar tampil mengemukakan bukti atas dakwaan yang mereka lemparkan terhadap Jokowi.
Ketika menjadi Datuk Bandar Solo, Jokowi melaksanakan pelbagai program dan polisi untuk pembangunan masyarakat beragama Islam, seperti acara karnival batik yang dimulakan dengan bacaan selawat.
Tegas Abdul Karim, tindakannya mempertahankan Jokowi tidak didorong mana-mana kepentingan, tetapi untuk membela orang yang baik dan bekerja dengan ikhlas.
Dalam pada itu, Abdul Karim mengingatkan masyarakat agar mendengar ulama yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.
“Pilih ulama yang melaksanakan apa yang diperkatakannya, yang tidak ada kepentingan sama sekali.
“Ulama yang ikhlas tidak ada kepentingan duniawi,” katanya.
Katanya lagi, walaupun terdapat ulama yang cenderung terhadap badan-badan politik tertentu, masih ramai yang ikhlas menjalankan dakwah tanpa apa-apa kepentingan.
“Ikutilah ulama yang tidak berkepentingan agar Indonesia tetap utuh,” jelasnya. –AGENSI











