BAGAN SERAI – Seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah lori kontena di Jalan Besar Bagan Serai di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Masri Ramli, 63, disahkan maut di tempat kejadian selepas digilis lori kontena kosong berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati lori treler yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun itu dan mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash sedang dalam perjalanan dari Taiping menghala ke Parit Buntar.
“Tiba di tempat kejadian, kenderaan berat tersebut dipercayai bergesel dengan motosikal sebelum mangsa terjatuh ke tengah jalan dan digilis.
“Akibatnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Omar Bakhtiar, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk prosea bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Nasrizal Safila berkata, anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.13 tengah hari.
Katanya, semasa tiba di lokasi tersebut, mangsa didapati terbaring di bahagian tayar belakang kenderaan berat itu dan telah tidak bernyawa.
“Anggota bomba yang berada di tempat kejadian kemudiannya bertindak mengutip cebisan daging mangsa yang maut akibat digilis.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 12.54 tengah hari,” katanya. – K! ONLINE










