UiTM FC tumpaskan Negeri Sembilan di Paroi - Utusan Malaysia

UiTM FC tumpaskan Negeri Sembilan di Paroi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 15 Feb. – UiTM FC mengutip tiga mata penuh di laman lawan selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-1 dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dekat sini malam ini.

Tuan rumah dikejutkan dengan gol pertama UiTM FC pada minit ke-25 melalui jaringan pemain pertahanan, Ahmad Azriddin Rosli.

Pemain itu menanduk masuk bola ke gawang selepas penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Hamka Daud gagal menangkap kemas bola hasil sepakan sudut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Negeri Sembilan merapatkan kedudukan pada minit ke-45 apabila memperoleh sepakan percuma di depan pintu gol akibat kesalahan pemain UiTM FC.

Sepakan deras pemain pertahanan tuan rumah, Matheus Fernandes Vila Real melepasi semua pemain UiTM FC yang berkubu di situ.

Separuh masa kedua, UiTM FC menggandakan asakan dan berjaya menambah gol pada minit ke-57 melalui Robert Waly Lopez Mendy yang menolak bola masuk selepas melantun terkena seorang pemain pertahanan lawan.

Ahmad Azriddin terus cemerlang dengan jaringan peribadi kedua pada minit ke-62 dalam perlawanan itu melalui tandukan di depan pintu gol Negeri Sembilan.

Berikutan itu, tuan rumah bertindak mengeluarkan penjaga gawang, Muhamad Hamka dan digantikan dengan Mohamad Fadzley Abdul Rahim.

Pemain gantian UiTM FC, Zarko Korac menjadikan keputusan 4-1 dengan tandukan di depan pintu gol lawan yang terbuka pada minit ke-90. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×