RM1.13 bilion untuk pembangunan luar bandar Sabah - Utusan Malaysia

RM1.13 bilion untuk pembangunan luar bandar Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PITAS 15 Feb. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan berjumlah RM1.13 bilion tahun ini bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan sistem jalan raya di kawasan luar bandar di Sabah.

R Sivarasa
R Sivarasa 

Timbalan menterinya, R. Sivarasa berkata, peruntukan itu akan diagihkan mengikut keutamaan penduduk di kawasan yang lebih memerlukan.

“Sebahagian penduduk luar bandar di Sabah telah diabaikan dan sekarang menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan baharu di bawah Pakatan Harapan untuk mengkaji semula keadaan ini,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Pitas, di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa kampung di daerah itu masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih meskipun negara telah mencapai kemerdekaan selama 61 tahun.

“Oleh itu, pendekatan yang harus digunakan ialah ‘di mana tiada’, itu harus diberi keutamaan, yang sudah ada boleh tunggu untuk yang lebih baik,” katanya.

Mengenai lawatan itu, Sivarasa berkata ia dibuat bagi mendapatkan gambaran secara menyeluruh di daerah itu dan seterusnya mencari strategi baharu dan alternatif lain untuk membuat perubahan di kawasan itu khususnya di Kampung Lugu dan Kampung Dandun.

Malah beliau turut meluluskan bantuan pam air dan enjin serta merta di Kampung Lugu bagi menggantikan pam yang hilang dihanyutkan air banjir baru-baru ini.

Kampung Lugu dan Kampung Dandun merupakan kampung menggunakan jambatan gantung sebagai laluan utama bagi kira-kira 3,000 penduduk yang memerlukan bekalan asas seperti air bersih dan elektrik. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN