KUALA LUMPUR 15 Feb. – Orang ramai dipelawa untuk menyaksikan Pertandingan Burung Amal yang akan berlangsung di tempat letak kenderaan pasar raya besar Giant Setapak di sini pada Ahad ini dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Kira-kira 300 ekor burung terdiri daripada murai batu, merbah jambul dan murai kampung akan dihakimi dari segi kemerduan bunyi kicauan dan keunikan fizikal bagi menentukan pemenang.
Kesemua burung itu dimiliki oleh para peserta dari seluruh negara termasuk Singapura.
Pertandingan dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Pencinta Burung Kicau Malaysia (Pekicau), Persatuan Burung Bukit Serdang dan Giant Setapak.
Ketua Pengadil pertandingan, Jasni Jaafar berkata, segala kutipan sama ada daripada para peserta atau derma pelbagai pihak akan disalurkan sepenuhnya kepada tiga penempatan untuk orang kurang upaya (OKU) dan terencat akal di Lembah Klang. – UTUSAN ONLINE










