Pemain Fiji perkuat Poly Mas Hornets - Utusan Malaysia

Pemain Fiji perkuat Poly Mas Hornets

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 15 Feb. – Politeknik Malaysia (Poly Mas Hornets) diperkuatkan oleh tiga pemain berpengalaman dari Fiji dalam misinya memburu slot perlawanan akhir Divisyen Satu Liga Ragbi Malaysia (MRL) 2019 yang bermula esok

Mereka ialah Veniona Vukinagauna, Rusiate Nasove dan Serupepeli Turuva yang pernah mewakili antara kelab utama Fiji, Dewata selain menimba pengalaman dengan Perak dan Kelantan dalam saingan kebangsaan seperti Piala Agong.

Turut mendukung cabaran Hornets apabila membuka kempen MRL menentang Silver Gaurus di Padang Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur ialah dua pemain negara, Syami Afiq Edan dan Azmi Saruman.

Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik Malaysia, Mohamad Amin Hamat berkata, “sasaran ini berbekalkan keyakinan dan semangat tinggi. Tiga pemain import Fiji ini tetap yang terbaik untuk dipertaruhkan walaupun kami ada sedikit kekangan kewangan.

“Selebihnya dalam skuad 22 pemain Hornets ini ada enam alumni Poly Mas dan dua pemain kebangsaan, Syami dan Azmi.” katanya pada majlis pelancaran pasukan di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di sini hari ini.

Poly Mas Hornets yang menduduki tempat kesembilan daripada 12 pasukan saingan MRL 2017, menghuni Kumpulan C Divisyen Satu musim ini dengan Silver Gaurus, KL Tigers dan Blackhawks.

Perubahan format MRL 2019 selepas ditiadakan tahun lalu, menyaksikan hanya lapan pasukan terbaik 2017 terpilih untuk bersaing dalam Divisyen Perdana antaranya UiTM Lions, Keris Conlay dan Iskandar Raiders.

Namun Poly Mas Hornets bimbingan Mohd. Shafie Osman ini terpaksa melupakan khidmat pemain tujuh sebelah negara, Amalul Azim yang terikat dengan larangan Kesatuan Ragbi Malaysia dan program Sukan SEA 2019.

Pengurus pasukan, Sharifuddin Yusof berkata, mereka mengadakan dua perlawanan ujian sebagai persediaan menghadapi MRL 2019 dengan menang sekali dan kalah sekali dengan JLJ (Jurutera Letrik dan Jentera) dan UPM (Universiti Putra Malaysia Serdang Angels).

“Kami perlu menang perlawanan pertama esok sebagai penyuntik semangat bagi dua aksi seterusnya. KL Tigers khabarnya ada ramai pemain warga asing manakala Silver Gaurus merupakan juara bertahan Divisyen Satu,” katanya, merujuk lawan Kumpulan C. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN