BAU 15 Feb. – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak melancarkan Operasi Khas Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Bersepadu) siri kedua bersama

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sarawak semalam di Pekan Bau di sini dan mengesan 85 pelanggaran di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Menurut pengarah JTK Sarawak Awang Raduan Awang Omar, operasi dijalankan di sembilan tempat pekerjaan melibatkan 15 pegawai penguat kuasa daripada kedua-dua jabatan dan pihaknya telah mengeluarkan sembilan notifikasi pelanggaran kepada majikan terlibat bagi memastikan tindakan pembetulan diambil.
Katanya, pelanggaran yang dikesan termasuk kegagalan majikan untuk menyimpan daftar peribadi yang lengkap (sembilan kes), gagal membayar gaji lebih masa kepada pekerja (enam kes), gagal membayar gaji kerja hari kelepasan (lima kes) dan gagal membayar gaji minimum (tiga kes).
Selain itu, katanya, satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat pelanggaran di bawah Seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak), iaitu menggaji pekerja bukan pemastautin tanpa lesen.
Sementara itu, pengarah Perkeso Sarawak Philip Sangkan berkata dalam operasi yang sama pihaknya telah memeriksa 11 perusahaan dan sebanyak lima Arahan Pematuhan telah dikeluarkan kepada majikan terbabit mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dikeluarkan kepada majikan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati perusahaan gagal mendaftar perusahaan (tiga kes) dan gagal mendaftar pekerja (dua kes). – BERNAMA










