KOTA BHARU 15 Feb. – Pasukan Kelantan United yang beraksi dalam saingan Liga M3 tekad melakukan kejutan pada aksi kelayakan Piala FA menentang KLG Southern FC, di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya, petang esok.
Ketua Jurulatihnya, Zahasmi Ismail berkata, keyakinan itu berpandukan kepada barisan pemain berpengelaman yang memperkuatkan pasukan untuk saingan Liga M3 nanti.
Menurutnya, bagaimanapun Kelantan United tidak memandang rendah pasukan lawan bahkan akan cuba sedaya upaya untuk memenangi perlawanan ini bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
“Cuma satu saya ingatkan kepada semua pemain, mereka kena gunakan setiap peluang yang ada.
“Jangan terlampau yakin, kerana ia sikap itu boleh menyebabkan kita tidak beraksi dengan baik,” katanya.
Zahasmi memberitahu, kehadiran tonggak utama yang merupakan bekas pemain skuad Liga Malaysia Kelantan diharap mampu membantu pasukan berkenaan.
“Kita ada Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi; Famirul Ashraf Sayuti; Mohd. Shahrul Hakim Rahim); Mohd. Daudsu Jamaludin dan penjaga gol veteran Mohd. Shahrizan Ismail yang menjadi tunjang pasukan.
“Sudah tentu saya menagih sesuatu berdasarkan pengalaman mereka untuk mengimbangi kekuatan untuk bertemu KLG Southern FC nanti,” ujarnya.
Selain bekas pemain Liga-M Kelantan itu, Kelantan United FC turut diperkuatkan bekas penyerang PKNS FC, Mohd Khairul Ramadhan Zauwawi dan Shamsul Kamal Mohamad Terengganu FC II. – UTUSAN ONLINE










