LAUSANNE 15 Feb. – Lima liga bola sepak terbesar di Eropah membelanjakan AS$642.8 (RM2.6 bilion) dalam jendela perpindahan Januari lalu, umum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Daripada jumlah itu, Liga Perdana Inggeris mengungguli carta perbelanjaan tertinggi melibatkan urus niaga bernilai AS$178.2juta (RM713 juta), diikuti Serie A (Itali) dengan AS$144.6 juta (RM578 juta), Bundesliga (Jerman) AS$112.5 juta (RM450 juta), La Liga (Sepanyol) AS$112 juta (RM448 juta) dan Ligue 1 (Perancis) AS$95.4 juta (RM382 juta).
Walaupun kelab England berbelanja paling besar, jumlah tersebut berkurangan 65 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2018, yang mencatatkan rekod baharu dalam sejarah liga domestik mereka ketika itu.
Sebaliknya Serie A menunjukkan peningkatan 459 peratus, Bundesliga 56.7 peratus dan Ligue 1 104. peratus.
La Liga pula senasib dengan Liga Perdana Inggeris apabila ia berkurangan sebanyak 70.1 peratus.
Jika diambil kira perbelanjaan kelab bola sepak di seluruh dunia, lima liga terbesar Eropah ini mewakili 59.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembelian pemain dalam tempoh yang sama.
Bagaimanapun berbanding Januari 2018, berlaku peningkatan sebanyak 6.4 peratus dalam perpindahan antarabangsa ini membabitkan 282 kelab di England, Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis.
Bintang tengah berbakat Belanda, Frenkie De Jong adalah urus niaga terbesar pada pasaran perpindahan Januari apabila menyertai Barcelona dari Ajax dengan nilai 65 juta pound (RM340.51 juta).
De Jong, 21, bagaimanapun kekal di Ajax sehingga hujung musim ini dan hanya berpindahan ke Camp Nou pada musim baharu 2019/2020. – AFP











