BATU KAWAN 15 Feb. – Kejadian runtuhan tiang dan kerangka bumbung sebuah kilang yang masih dalam pembinaan di Lorong Perusahaan Maju 8 di Perai di sini hari ini berpunca daripada pemandu kren telah terlanggar struktur tiang berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, dua pekerja binaan maut dengan seorang daripadanya adalah warga tempatan manakala empat lagi pekerja cedera parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, siasatan awal polis mendapati pemandu kren warganegara Myanmar yang juga maut di lokasi kejadian telah terlanggar satu tiang sebelum tiang itu menimpa tiang-tiang berselahan lalu meruntuhkan kerangka bumbung.
“Tiang-tiang dan kerangka bumbung ini menimpa enam mangsa yang sedang bekerja di tapak pembinaan ini.
“Seorang daripada dua yang maut dikenalpasti warga tempatan, P.Kumar, 46 dan pemandu kren warga Myanmar manakala empat lagi pekerja warga asing iaitu tiga warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia cedera parah,”katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










