Badan Kehakiman buat laporan polis terhadap dakwaan Hakim Mahkamah Rayuan - Utusan Malaysia

Badan Kehakiman buat laporan polis terhadap dakwaan Hakim Mahkamah Rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Badan Kehakiman telah membuat laporan polis berhubung tuduhan serius terhadap beberapa hakim dan institusi tersebut yang dibuat oleh salah seorang Hakim Mahkamah Rayuan.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer dan dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sanggeet Kaur Deo, semalam.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataannya di sini hari ini memberitahu, pihaknya tidak berhasrat untuk menjawab kandungan dakwaan tersebut memandangkan penyataan tersebut dibuat terlalu umum dan boleh menjejaskan reputasi Badan Kehakiman secara keseluruhannya selain prosiding kes saman berkenaan masih berlangsung di mahkamah.

Menurut kenyataan itu, tindakan menjawab dakwaan itu juga boleh menjejaskan keyakinan orang awam terhadap institusi ini dan seterusnya memudaratkan pentadbiran kehakiman.

“Badan Kehakiman sedar betapa pentingnya memelihara keyakinan masyarakat terhadap institusi itu. Malah, ia adalah fokus berterusan badan ini untuk menjaga keutuhannya dan memastikan berfungsi dengan sewajarnya bagi menegakkan keadilan.

“Dalam hal ini, Badan Kehakiman Malaysia sedang dan akan terus melaksanakan penambahbaikan serta pembaharuan yang substantif dalam pentadbiran kehakiman. Dimaklumkan juga bahawa Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) telah bertemu dengan Badan Kehakiman dan membuat cadangan yang pada masa ini juga sedang dilaksanakan.

Tambah kenyataan itu, agensi penguatkuasaan yang berkaitan sedang meneliti pengataan yang telah dibuat tersebut. Keputusan sama ada penubuhan Suruhajaya Siasatan perlu atau tidak terletak pada pihak Kerajaan.

Semalam, Hakim Hamid Sultan membuat tuduhan bahawa terdapatnya campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk kes mendiang Karpal yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Tuduhan terhadap badan kehakiman negara dinyatakan dalam afidavit sokongan setebal 65 muka surat.

Pada 14 Januari lalu, Sangeet yang juga peguam memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan juga kes guru tadika M. Indira Ghandi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN