Trio Belanda tak sabar kecewakan TNB - Utusan Malaysia

Trio Belanda tak sabar kecewakan TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Trio import Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dari Belanda, Robbert Kemperman, Valentin Verga dan Martijn Havenga sudah bersedia mengecewakan hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengutip tiga mata menjelang pertemuan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2018 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi esok.

UniKL selaku juara bertahan Piala TNB terlepas menggunakan khidmat ketiga-tiga pemain itu serta dua lagi tonggak import iaitu penjaga gol Ireland, David Harte dan Kieran Govers dari Australia sewaktu dimalukan 0-3 kepada TNB pada separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra awal bulan ini.

Kemperman, 28, yang muncul naib juara Piala Dunia 2018, menyifatkan mereka sudah menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan walaupun tiba di tanah air minggu lalu.

“Kami masih dalam kepenatan menaiki penerbangan yang panjang tetapi tetap dapat menikmati perlawanan dengan menewaskan UiTM 2-1 pada Ahad lalu.

“Saya sudah tidak sabar untuk meneruskan perlawanan bertemu TNB memandangkan fizikal kami sudah berada pada tahap lebih baik.

“TNB adalah pasukan kuat yang mempunyai ramai pemain kebangsaan Malaysia, jadi kami perlu kekal fokus, tenang dan merendah diri berdepan mereka esok,” katanya.

UniKL yang dikendalikan Arul Selvaraj, kini menduduki tangga ketiga MHL 2018 dengan empat mata selepas mencatatkan satu kemenangan dan satu seri daripada dua perlawanan, ketinggalan dua mata di belakang TNB yang sedang mengungguli carta liga. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×