Temui mayat lelaki dalam kereta tepi pantai  - Utusan Malaysia

Temui mayat lelaki dalam kereta tepi pantai 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Satu mayat lelaki ditemui dalam sebuah kereta di Pantai Cahaya, Batu 4 di sini pada pukul 12.16 tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemui oleh orang awam.

“Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring di tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa beralamat di Banting, Selangor,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia antara dua hingga empat hari  berdasarkan keadaan mayatnya yang telah berbau dan bengkak.

Kata beliau, polis turut menemui satu bekas arang yang diletakkan di bahagian kaki tempat duduk belakang kereta tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berhubung kematian lelaki itu, namun siasatan lanjut masih berjalan.

“Kes diklasifikasikan mati mengejut buat masa ini dan mayatnya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

“Keluarga mangsa telah dihubungi untuk memberi maklumat tentang lelaki itu bagi membantu polis melengkapkan siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×