TAWAU 17 Jan. – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan dua remaja lelaki di perairan Tawau dalam Ops Gelora selepas disyaki cuba menyeludup masuk sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke daerah ini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata penahanan kesemua 11 individu pada jam 3 petang itu hasil pemantauan Unit Risikan Marin yang membuat risikan di kawasan laut Pelabuhan Tawau menggunakan bot samaran.
“Juragan tempatan berusia 18 tahun bersama seorang awak-awak berusia 16 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan dalam perjalanan dari Sungai Haji Kuning, Sebatik menuju ke kawasan Pelabuhan Tawau.
Ketika bot laju dikendalikan kedua remaja ini, didapati turut membawa sembilan penumpang warga Indonesia berumur antara sembilan hingga 73 tahun yang juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – BERNAMA











